PETALING JAYA – Seramai 10 pelanggan didakwa makan secara berkumpulan di sebuah restoran pada 6 Disember lalu tanpa membayar bil berjumlah RM93.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh pemilik restoran, Cikta, kejadian itu berlaku apabila kumpulan pelanggan yang meminta untuk membayar di kaunter selepas makan didapati meninggalkan meja tanpa melunaskan bayaran.
“Kami sudah menawarkan untuk mereka membayar terus di meja dengan membawa kod QR, tetapi mereka kata akan bayar di kaunter nanti.
“Namun, selepas itu mereka menghilangkan diri, hanya tinggal pinggan sahaja,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di TikTok.
Cikta berkata, pihaknya pada awalnya bersangka baik bahawa kejadian itu mungkin disebabkan salah faham dalam kalangan pelanggan tersebut.
“Bos suruh bersangka baik, mungkin mereka ingat ada yang lain sudah bayar. Tapi sudah sehari berlalu, tiada siapa yang datang untuk bayar,” tambahnya.
Dalam usaha menyelesaikan isu tersebut, Cikta membuat rayuan agar kumpulan pelanggan itu menghubunginya untuk menjelaskan bayaran secara pindahan wang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengingatkan agar pemilik lebih berhati-hati dalam urusan pembayaran dan turut berkongsi pengalaman serupa.
“Kena hati-hati lepas ini, kalau boleh bayar dulu sebelum makan. Kasihan pada peniaga-peniaga kecil,” kata Syakirin.
“Sedih kan, saya pun berniaga kecil-kecil sahaja. Ada yang tidak bayar, yang bayar separuh pun ada. Cakap nak datang bayar baki. Sampai sudah tidak datang,” luah Raees Raysha.
“Saya pun pernah macam tu. Ingatkan kawan yang bayar, kawan pula ingat saya yang bayar. Masuk kereta, tanya balik. Rupanya tiada yang bayar. Kelam kabut pergi bayar balik,” ujar Ismazul.- KOSMO! ONLINE