KUALA SELANGOR – Tindakan sebuah kapal kontena yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Selangor mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.
Kapal yang berdaftar di Panama itu ditahan kira-kira 29 batu nautika barat daya Tanjong Karang di sini, pukul 1.40 petang.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Klang mengenai kapal yang mencurigakan.
Katanya, Jabatan Laut Wilayah Tengah memaklumkan kapal kontena itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut.
“Bertindak atas maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan menahan kapal berkenaan.
“Kapal itu berdaftar di Panama bersama 20 kru lelaki warga China termasuk nakhoda berusia antara 30 hingga 59 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya hari ini.
Tambah beliau, perintah penahanan ke atas kapal itu dikeluarkan dan kapten serta seorang kru dibawa ke Ibu pejabat Maritim Selangor bagi siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE