fbpx

MCMC terbit garis panduan INSG, tingkat keselamatan maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) bagi meningkatkan keselamatan maklumat, rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

MCMC dalam kenyataan berkata, INSG berfungsi sebagai satu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat masa ini.

Namun, MCMC menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan tersebut serta memberikan maklum balas penambahbaikan.

“INSG bukan bertujuan untuk menambah peraturan baharu, tetapi sebaliknya bertujuan meningkatkan keupayaan dan ketersediaan penyedia perkhidmatan dalam mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan infrastruktur rangkaian, serta melindungi pengguna-pengguna daripada ancaman dalam talian,” katanya hari ini.

Jelas MCMC, semasa fasa pembangunan INSG, pihaknya secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen (termasuk penyedia pusat data dan penyediaperkhidmatan awan), kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, dan forum di bawah MCMC.

“Maklum balas, cadangan dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan yang mana bersesuaian, telah diserap ke dalam INSG.

“Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen MCMC untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan di samping memastikan amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi,” ujarnya.

Justeru, MCMC berpandangan bahawa INSG merupakan satu langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan infrastruktur rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.

“Ia mencerminkan usaha berterusan MCMC untuk menangani cabaran dalam landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital
negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI