PETALING JAYA – Beberapa kampung di daerah Machang, Kelantan diramal akan mengalami banjir bermula Selasa hingga Jumaat ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kampung yang terlibat adalah di sekitar radius lima kilometer berhampiran Sungai Kelantan.
“Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Pasir Senor, Kampung Kerilla, Kampung Kuala Hau, Kampung Temangan Lama, Temangan, Kampung Pauh, Kampung Telok Choh, Kampung Belukar Panjang, Kampung Bukit Besi, dan Kampung Pertok,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, JPS turut mengeluarkan amaran banjir di beberapa kampung berhampiran Sungai Nenggiri di Gua Musang.
Jelasnya, amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi pada 5 Disember lepas.
“Antara kampung yang akan terjejas termasuklah Kampung Pasir Tumboh Lama, Kampung Kala, Kampung Jeram Tekoh, Kampung Dalam Lah dan Kampung Kuala Betis.
“Turut terlibat, Kampung Kuala Sungai, Kampung Bertam Lama, Kampung Bertam Baru dan Kampung Pasir Tumbuh Baru,” ujarnya.
Kata JPS lagi, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk, terutamanya yang berada di kawasan berisiko banjir, mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana,” katanya.- KOSMO! ONLINE