PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara menangguhkan operasi dan aktiviti Jentera Perpaduan iaitu Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri terbabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menerusi kenyataan akhbar hari ini, kementerian memaklumkan, arahan penangguhan itu berkuat kuasa mulai semalam hingga 26 Januari ini.
Menurutnya, aktiviti KRT dan SRS di negeri-negeri terbabit PKP Bersyarat (PKPB) juga ditangguhkan termasuk operasi bantuan operasi penyelamatan banjir.
“Bagaimanapun, KRT dan SRS di negeri-negeri terbabit PKP Pemulihan (PKPP) dibenarkan menjalankan aktiviti dan membantu operasi penyelamatan banjir namun, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Operasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri terbabit PKP akan beroperasi selari dengan institusi pendidikan pra-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.
Katanya, bagi negeri-negeri terbabit PKPB dan PKPP, Tabika Perpaduan akan mula beroperasi pada 20 Januari ini manakala, Taska Genius Perpaduan yang sudah pun bermula pada 3 dan 4 Januari lalu, akan terus beroperasi seperti biasa. – K! ONLINE