Oleh MOHD RAFIE AZIMI
JITRA – Seorang pengusaha nasi kandar ditahan di premis perniagaannya di pekan Napoh dekat sini kerana mengingkari syarat kuarantin di rumah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, lelaki itu dipercayai baru pulang dari India pada 13 Julai lalu dan perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
“Lelaki itu bagaimanapun mendakwa datang ke kedainya bagi memantau perniagaan.
“Disebabkan itu pihak polis menahannya kira-kira pukul 9 pagi tadi setelah menerima laporan daripada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu gambar lelaki tersebut yang memakai gelang tangan berwarna merah jambu tular di media sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.
Mohd. Ismail menambah, hasil keputusan ujian saringan Covid-19 dijalankan terhadap lelaki terbabit sebelum ini didapati negatif.
“Lelaki itu bagaimanapun masih perlu melakukan saringan kedua pada minggu depan,” ujarnya.
Tambahnya, pengusaha nasi kandar terbabit kemudiannya dikompaun sebanyak RM1,000 dan diarahkan menjalani proses kuarantin di rumah.- K! ONLINE