PUTRAJAYA – Biarpun berpendirian neutral dan berusaha menjadi ‘kuasa ketiga’ dalam soal pertahanan, Malaysia bagaimanapun tidak terus rasa selesa dalam berdepan mana-mana situasi dan konflik yang berlaku di seluruh dunia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, berlaku peningkatan penentangan membabitkan kuasa-kuasa besar dunia dan situasi itu dilihat boleh menjejaskan negara.
Beliau berkata, dunia tanpa sempadan kini menyebabkan mana-mana negara pun akan terjejas sama jika ada negara yang sedang berperang dan berada dalam konflik.
“Mungkin kita neutral tak buat apa-apa. Namun, jika Korea Selatan dan Korea Utara berperang maka, ia tentunya akan menjejaskan rantaian bekalan.
“Sebagai contoh, kita banyak membuat tempahan dengan Korea Selatan termasuk perolehan kapal terbang. Tapi jika mereka berperang kita mungkin tidak dapat perolehan itu ataupun lewat.
“Itu untuk pertahanan, belum termasuk untuk lain-lain komponen dan rantaian bekalan makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), hari ini.
Katanya, Malaysia bagaimanapun akan terus mengambil pendirian berkecuali dan neutral namun, pada masa sama berharap tidak akan berlaku sebarang konflik dalam dimana-mana negara ketika ini. – KOSMO! ONLINE