SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau memori ketika mengunjungi Surau Kampung Belah Dua di Bukit Mertajam, di sini hari ini yang pernah dirasmikannya 39 tahun lalu.
Beliau yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pertanian dan juga Ahli Parlimen Permatang Pauh telah merasmikan surau berkenaan pada 30 November 1985.
Kehadiran beliau disambut ahli jawatankuasa surau, malah Ahli Parlimen Tambun itu juga meluangkan masa hampir 10 minit melawat sekitar surau dan tadika berhampiran sebelum beramah-mesra bersama penduduk setempat kira-kira pukul 10.40 pagi.
Pengerusi jawatankuasa surau, Fadzli Md. Kassim berkesempatan menyerahkan dokumen permohonan pembinaan surau baharu sebelum beliau beredar untuk merasmikan Jualan Rahmah Madani di Kampung Masjid Timah.
Fadzli berkata, penduduk setempat teruja dengan kehadiran PM yang pernah merasmikan surau berkenaan malah pemimpin itu pernah bersolat di surau dua tingkat itu pada tahun 1983.
Katanya, jemaah masih mengingati beliau ada datang bersolat di surau berkenaan dan membantu memastikan lantai yang berbunyi ditukar segera. – KOSMO! ONLINE