fbpx

Penduduk Kedah diminta waspada banjir berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Suhaimi bersama Leftenan (PA) Norashikin Ahmad Zawawi meninjau keadaan Sungai Kedah di Alor Kanchut, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Beberapa kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini dijangka akan sekali lagi dinaiki air berikutan amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula esok hingga 11 Disember ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, amaran itu perlu diberi perhatian memandangkan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) turut telah mengeluarkan amaran banjir di empat negeri iaitu Kedah, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Sehubungan itu katanya, kalangan penduduk di kawasan terjejas baru-baru ini diminta membuat persediaan awal selain mengambil sikap berhati-hati serta peka dengan perkembangan semasa.

“Dalam kejadian banjir sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran tahap jingga, tetapi untuk hujan berterusan bermula esok, amaran dikeluarkan hanya pada tahap waspada. Itu bermakna, situasinya mungkin tidak seburuk seperti sebelum ini.

“Walaubagaimanapun, semua pihak perlu mengambil sikap berhati-hati dan bersedia dengan segala kemungkinan. Ketika ini, risiko banjir dijangkakan berlaku melibatkan dua lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Kedah merangkumi daerah Padang Terap, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar serta Lembangan Sungai Muda meliputi Sik, Baling, Kulim dan Kuala Muda,” katanya dalam sidang akhbar di Alor Kanchut dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini pelbagai pihak telah membuat persiapan rapi termasuk menilai semula pusat pemindahan sementara yang sebelum ini turut terjejas banjir seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, dekat sini.

Katanya, PPS berkenaan mungkin tidak lagi akan menjadi keutamaan selepas ini dan digantikan dengan PPS lain yang lebih selesa untuk mangsa-mangsa banjir. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI