AMPANG JAYA – Mayat seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan luka di bahagian muka dan kepala di kawasan parit di Pandan Mewah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan kejadian berkaitan penemuan mayat itu dibuat orang awam sekitar pukul 11.55 pagi.
“Siasatan mendapati mayat terbabit merupakan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun serta didapati dalam keadaan tertiarap di parit berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Forensik PDRM Bukit Aman mendapati terdapat kesan luka di bahagian muka dan kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat berkenaan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE