fbpx

Kedai ‘hardware’ hangus dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kedai alat perkakasan yang terbakar dalam kejadian di Kampung Chicha, Jalan Pasir Puteh dekat Kota Bharu hari ini. - IHSAN BOMBA

KOTA BHARU – Sebuah kedai alat perkakasan atau ‘hardware’ hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Chicha, Jalan Pasir Puteh, di sini, tengah malam tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.29 tengah malam itu disedari penduduk setempat yang mendengar bunyi letupan dari arah premis tersebut.

Saksi kejadian, Suhaiza Jaafar, 33, berkata, dia pada mulanya terdengar letupan seakan-akan bunyi mercun di kawasan kedai tersebut yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia menjenguk melalui tingkap sebelum melihat asap dan api sedang marak di dalam kedai berkenaan.

“Bimbang api merebak ke kawasan rumah, saya terus menghubungi talian kecemasan. Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya tidak sempat menelefon pemilik kedai kedai itu.

“Semasa kejadian, premis itu sudah ditutup dan pemiliknya tinggal di kawasan kampung tidak jauh dari Kampung Chicha,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Mohd. Faizul Anuar Mohd. Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.34 pagi sebelum keluar ke lokasi untuk memadam kebakaran itu.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 2.08 pagi. Punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI