PETALING JAYA – Nampaknya tidak semua konten yang dimuat duda sensasi, Fattah Amin disukai ramai.
Terbaharu kontennya yang cuba memujuk seorang pekerja produk jenama kambing perap popular, Una mendapat kecaman ramai.
Una dikatakan telah berhenti kerja dan Fattah dilihat cuba memujuknya melalui sebuah video.
“Una kalau Una tengok video ini cuba jawab panggilan saya. Kalau ada apa-apa tak puas hati beritahu saya. Kita bawa berbincang. Jangan lupa tengok siaran langsung saya esok,” katanya dalam video tersebut.
Ramai netizen mula berasa meluat dan jelak dengan konten yang dilabel sebagai murahan dan gimik pemasaran tersebut. Ada juga yang mempersoalkan kenapa hero filem Pendekar Awang itu tidak melakukan perkara yang sama untuk memujuk bekas isterinya iaitu Nur Fazura.
“Cubalah buat konten yang menarik sikit. Konten macam ni buat orang naik muak lama-lama tengok. Kasihan juga Fattah ni. Kena ikut apa yang orang suruh,” komen netizen.
“Pujuklah Fazura. Pujuk Una buat apa? “Sangat drama. Tolonglah Fattah. Waktu bekas isteri awak kena kecam semasa dia masih menjadi isteri awak, tak ada pula nak mempertahankan dia daripada kutukan netizen. Dia masih isteri awak ketika itu. Tak ada pula keluar dalam media sosial. Ketua keluarga harus jadi pemimpin yang bagus,” komen netizen yang bengang dengannya.
Sebelum ini Fattah sering tampil bersama Una dalam sesi siaran langsung Pak Mat Western. Pada November lalu, Fattah telah dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Pemasaran untuk jenama yang terkenal dengan produk daging perap itu. – KOSMO! ONLINE