PETALING JAYA – Pernah menjadi mangsa hubungan toksik, penyanyi Shila Amzah sekali lagi menegaskan individu panas baran dan kaki pukul tidak akan pernah berubah.
Menurut Shila, 34, wanita seharusnya tidak dibutakan dengan wajah tampan seseorang dan memaafkan tanpa memikirkan akibat kemudian hari.
“Saya sudah beritahu banyak kali, kaki pukul tidak akan pernah berubah. Sama ada wajah tampan atau tidak, jangan biarkan diri anda dikaburi dengan fizikal mereka.
“Terutamanya apabila anda tahu sejarah teman lelaki dengan bekas pasangan yang mana pukul dan maki merupakan makanan harian mereka, lari!” katanya dalam Instagram.
Tambah pelantun lagu Patah Seribu itu, individu suka mendera bijak bermain dengan kata-kata maaf.
Tidak hanya itu, Shila turut menegaskan kaki pukul cenderung membuatkan pasangannya kehilangan kawan dan menjauhkan diri daripada orang sekeliling.
“Sesetengah orang akan kekalkan hubungan dengan pendera sebab selalu ingat tiada jalan keluar.
“Pendera pandai, dia akan buat anda buang semua kawan seterusnya bergantung 100 peratus kepadanya.
“Kemudian, kononnya apabila sedar perbuatannya itu salah, dia akan melutut minta maaf kepada awak, menangis seperti dalam filem hindustan,” ujarnya.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/12/shila-amzah-3.jpeg)
Jelasnya, individu toksik sebegitu sememangnya akan melayan pasangan mereka seperti permaisuri tetapi sikap itu akan berubah 360 darjah apabila baran menguasai diri.
“Ketika baik, memang dia akan layan anda seperti seorang puteri.
“Namun, kalau sudah datang gila dia, ketika itu mental dan fizikal anda akan didera lagi. Pusingan tersebut akan terus berlarutan,” jelasnya.
Dalam perkongsian sama, Shila turut mengulang siar video temu bual usahawan dan bekas model, Zahnita Wilson yang berkongsi tentang pengalaman buruknya selama 20 tahun bergelar isteri kepada kaki pukul selain diperlakukan seperti hamba.
Bukan kali pertama, Shila juga sebelum ini pernah menitipkan nasihat agar golongan wanita berhati-hati dengan lelaki panas baran dan pemarah.
Menurut Shila dia pernah berada dalam situasi lelaki yang dikenalinya nampak romantik tetapi hakikatnya pembengis. – KOSMO! ONLINE