JOHOR BAHRU – Pusat jagaan kanak-kanak menarik balik laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan seorang murid dibawah jagaan mengalami lebam pada bahagian muka dipercayai ditampar dan ditumbuk seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di sini, semalam.
Pengasasnya berkata, tindakan itu diambil susulan hasil perbincangan secara menyeluruh melibatkan guru besar, guru terlibat serta pihak pengurusan sekolah dan mempertimbangkan untjk kebaikan semua pihak.
“ Mengikut prosedur operasi standard (SOP), kami sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anak di bawah jagaan kami, terutama dalam menangani isu yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
“Setiap aduan berkaitan kecederaan fizikal akibat kekerasan mesti dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Sebelum membuat laporan, kami telah menyemak aduan secara terperinci dengan menyoal anak yang mengadu, bersama saksi kejadian, untuk memastikan kebenaran sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Semalam, satu pertemuan telah diadakan di Balai Polis antara pihak kami, guru besar, guru yang terlibat, serta pihak pengurusan sekolah. Setelah berbincang secara menyeluruh dan mempertimbangkan kebaikan semua pihak, kami bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, pihak pengurusan pusat jagaan memohon maaf atas kesalahfahaman yang berlaku dan berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan keprihatinan dalam memastikan kebajikan anak-anak terus terjaga.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid tahun empat mengalami lebam pada bahagian muka dipercayai ditampar dan ditumbuk oleh seorang guru lelaki dalam kejadian sebuah sekolah rendah di sini semalam.
Pihak pengurusan pusat jagaan kanak-kanak itu berkata, mangsa yang berusia 10 tahun diperlakukan sedemikian selepas dikatakan berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan murid yang lain di sebuah makmal komputer sekolah berkenaan.-KOSMO! ONLINE