MILAN – Ketumpulan penyudah Romelu Lukaku merupakan faktor utama Inter Milan terpaksa melupakan hasrat bergelar juara Serie A musim ini apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Fiorentina di Stadium San Siro awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan Juventus kini di ambang kejuaraan musim ini sekali gus mempertahankan gelaran Scudetto buat kali kesembilan berturut-turut.
Ketua jurulatih Inter, Antonio Conte kecewa dengan situasi itu kerana skuad bimbingannya dilihat mampu menamatkan dominasi Juventus pada awal saingan musim ini sebelum segala-galanya musnah disebabkan kesilapan mereka sendiri.
“Tempat kedua langsung tiada apa-apa makna bagi saya. Ia cuma membuktikan anda adalah pasukan yang mengungguli carta paling malang,” katanya.
Lukaku berpeluang mencetak hatrik dalam aksi separuh masa pertama tetapi dinafikan oleh ketumpulan penyudahnya sendiri selain kehebatan penjaga gol Fiorentina.
Malang Inter berterusan apabila percubaan Lukaku dan Alexis Sanchez sekadar singgah di tiang gol Fiorentina dan terpaksa akur menamatkan perlawanan tanpa sebarang jaringan.
Keputusan itu menyaksikan Inter jatuh ke tangga ketiga dan dipintas Atalanta pada kedudukan kedua dengan saingan Serie A musim ini cuma berbaki tiga perlawana lagi.
Inter harus menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah perlawanan kedua berturu-turut menyaksikan mereka sekadar mengutip satu mata selepas terdahulu seri 2-2 dengan AS Roma pada Isnin lalu. – AGENSI