BOURNEMOUTH – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou meluahkan kekecewaan terhadap prestasi pasukan selepas kekalahan 0-1 kepada Bournemouth di Stadium Vitality awal pagi semalam yang kini meletakkan mereka di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kekalahan itu juga menambah tekanan terhadap Postecoglou dengan Spurs kini merekodkan enam kekalahan musim ini dan menjadikan mereka antara pasukan dengan jumlah kekalahan terbanyak di EPL.
“Kami perlu lebih tegas dan lebih bijak mengawal perlawanan. Tidak boleh membiarkan pihak lawan mendominasi seperti yang berlaku hari ini,” katanya.
Postecoglou turut menerima kritikan daripada penyokong Spurs yang semakin hilang sabar dengan prestasi pasukan apabila berlaku pertengkaran dengan mereka sebelum petugas keselamatan cuba menenangkan situasi.
Spurs sebelum ini memberi harapan besar kepada penyokong selepas menang 4-0 ke atas Manchester City dua minggu lalu, namun momentum tersebut gagal diteruskan.
Sejak itu, mereka sekadar seri dengan AS Roma di Liga Europa, diikat Fulham dalam aksi EPL dan kini terbaharu tewas kepada Bournemouth yang mendominasi perlawanan dengan 21 percubaan ke arah gol.
“Jelas sekali ini tidak cukup baik. Kami bermula bagus tetapi selepas melepaskan gol mudah, kami hilang kawalan sepenuhnya. Perkara ini sering berulang, ia kesilapan yang mencerminkan kurangnya ketajaman dan keyakinan,” tambah Postecoglou.
Insiden itu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai keupayaan skuad kendalian Postecoglou, tetapi juga menekan jurulatih Australia itu untuk segera mencari penyelesaian. – AGENSI