KETUA jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengesahkan lilitan kapten bakal dikongsi tiga pemain berpengalaman, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan dan Syafiq Ahmad pada kejohanan Piala Asean 2024 nanti.
Sebagai rekod, Syamer selaku tonggak utama Penang FC telah mengumpul 38 kaps sepanjang bersama skuad senior negara dan berjaya menjaringkan dua gol sejak membuat debut pada 2017.
Selain Syamerk, ugasan kapten bakal dikongsi bersama Dominic Tan yang telah meraih 33 kaps dan pemain penyerang, Syafiq Ahmad (41 kaps) bagi mengharungi kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.
Skuad kebangsaan telah berlepas ke Pnhom Penh, Kemboja pagi tadi dan bakal memulakan aksi Kumpulan A menentang tuan rumah di Stadium Olimpik pada Ahad ini.
Kemudian, pasukan Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (11 Disember) disusuli Thailand di Bangkok (14 Disember) dan Singapura di laman sendiri (20 Disember).
Sejak dianjurkan pada 1996, skuad Harimau Malaya hanya pernah bergelar juara sekali pada edisi 2010 manakala kali terakhir bergelar finalis pada edisi 2018. – KOSMO! ONLINE