fbpx

Perjalanan transformasi 50 tahun BSN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BSN menyambut ulang tahunnya yang ke-50 pada tahun ini dengan mengangkat tema ‘Mendukung Aspirasi Merentasi Generasi’.

SEJAK memulakan operasinya pada 1 Disember 1974, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah melalui pelbagai transformasi dalam usaha menyediakan kemudahan perbankan kepada semua rakyat Malaysia, untuk kehidupan yang lebih baik.

Perjalanan panjang BSN dipacu oleh visi ‘Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan’ sehingga menjadikannya sebuah bank yang begitu dekat di hati rakyat menerusi penawaran pelbagai produk kewangan.

Tidak hanya menyediakan perkhidmatan perbankan terbaik, BSN turut mendidik masyarakat supaya lebih celik kewangan, baik bagi mereka yang tinggal di bandar mahupun desa.

Dalam usaha menjayakan hasrat tersebut, BSN telah melancarkan pelbagai produk serta kempen, antara yang telah mencipta sejarah tersendiri adalah pengenalan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) pada tahun 1978.

Di samping mendorong tabiat menabung, BSN SSP memberi peluang kepada penyimpannya untuk memenangi pelbagai hadiah seperti kereta, rumah dan wang tunai, malah bergelar jutawan.

Setakat November 2024, BSN SSP telah melahirkan 106 orang jutawan dan bulan ini, ia mencari satu lagi jutawan dengan tawaran hadiah BSN SSP bernilai RM2 juta.

BSN yang memulakan operasinya pada 1974 terus berevolusi dengan penambahbaikan dari aspek teknologi, operasi dan digitalisasi.

Mengimbas ke belakang, era 1980-an merupakan tempoh masa yang sangat penting bagi BSN apabila namanya terus berkembang untuk menjadi jenama isi rumah dalam memupuk amalan menabung serta memperkasa keterangkuman kewangan.

Bagi generasi 90-an pula, memiliki kad Giro warna emas menjadi lambang kedewasaan bagi anak remaja, lebih-lebih lagi apabila dapat mengeluarkan wang tunai sendiri di mesin pengeluaran automatik (ATM).

Sudah pasti ia menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan oleh anak-anak yang membesar di zaman itu.

Meneruskan lagi kegemilangannya, BSN terus memperluaskan perkhidmatan kepada rakyat, termasuklah dengan memperkenalkan inisiatif mikro-kewangan bagi menyokong peniaga kecil.

Selama 50 tahun BSN sentiasa komited untuk memastikan keterangkuman kewangan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin.

BSN juga memperkenalkan Ejen Bank BSN (EB BSN) pada 2012 untuk pengoperasian lebih meluas termasuk di kawasan desa. EB BSN kini telah berkembang pesat dengan 2,200 ejen ketika ini, merangkumi 98 peratus mukim di seluruh negara.

Seiring dengan peredaran zaman, BSN terus berevolusi dengan menambah baik perkhidmatan termasuklah dalam aspek teknologi, operasi dan digitalisasi dengan menyediakan produk kewangan komprehensif seperti simpanan, pembiayaan, kad debit, kad kredit dan fungsi DuitNow QR yang memudahkan lagi urusan kewangan.

Dalam memperkasakan misinya, BSN turut melaksanakan pelbagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan jenama BSN Care dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keselamatan, komuniti, sukan, perhubungan perniagaan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) menjadi salah satu produk simpanan yang popular dengan menawarkan peluang bergelar jutawan.

Tahun ini, BSN sekali lagi melakar sejarah apabila menyambut ulang tahunnya ke-50 dengan mengangkat tema Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan rakyat Malaysia selama lima dekad yang lalu, termasuk BSN Care 50 Hari Memberi, Orchid Run & Ride 2024: BSN x Petronita dan BSN x Keretapi Sarong.

Bakti dan komitmen teguh BSN dalam memberikan perkhidmatan terbaik turut diiktiraf menerusi kejayaannya merangkul anugerah Excellence Award for Community Banking in Malaysia dan Best Islamic Retail Banking Window in Malaysia 2024.

BSN kini mempunyai 387 cawangan termasuk 179 cawangan di luar bandar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI