fbpx

Henti alasan ‘kuasa’ Tuhan, atasi segera isu banjir – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin bertitah ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang. - Foto oleh AFIQ RAZALI

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dan mahu kerajaan negeri segera merangka pelan menyeluruh bagi mengatasi isu banjir yang masih berlarutan sehingga kini.

Baginda bertitah, kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah berkali-kali diminta mengambil langkah efektif dan perancangan rapi dalam mengatasi isu itu.

“Namun, banjir masih berlaku setiap tahun malah semakin teruk. Takkan kita mahu guna alasan ia kerana perubahan iklim) atau tahap penurunan hujan tinggi dan luar biasa akibat ‘act of God’ (kuasa Tuhan). Beta sudah penat mengingatkan isu ini namun semua tiada diambil peduli umpama ‘mencurah air di daun keladi’.

“Kenapa ia tidak dapat kita selesaikan? Tidakkah kerajaan negeri mahu memikirkan kesusahan rakyat yang menderita ketika banjir dengan berhadapan kerosakan harta benda, nyawa dan keselamatan yang terancam,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang di sini, lewat petang tadi.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tegas Sultan Sharafuddin, jutaan ringgit peruntukan dikhaskan bagi mengatasi masalah banjir sama ada jangka pendek dan panjang namun ia seolah-olah tiada langsung hasilnya.

“Jika kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek gagal, kerajaan negeri perlu melantik pihak lain yang lebih berwibawa. Tidakkah kita belajar daripada kesilapan lepas terutama bencana banjir pada Disember 2021 lalu yang hampir melumpuhkan Selangor dan cuba memperbaikinya dengan berkesan demi rakyat,” titah baginda.

Justeru, baginda mahu satu pelan menyeluruh dirangka dengan segera dan pasukan khas dibentuk bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan dukacita dengan tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang dengan baginda menerima banyak rungutan yang menyatakan pemandangan termasuk di Pelabuhan Klang amat tercemar dan menjijikkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI