IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM108. 5 juta projek tebatan banjir di Sungai Kinta di sini dan Kampar.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peruntukan itu bertujuan mengelakkan kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini daripada berulang lagi.
“Selain itu, ia juga bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf ban di sepanjang Sungai Kinta sebagai pencegahan dan penyelesaian jangka panjang bagi menangani risiko banjir akibat perubahan iklim yang semakin serius.
“Bersempena lawatan itu juga, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah menyampaikan sumbangan tilam kepada penduduk yang terjejas dalam bencana itu,” katanya di sini hari ini.
Media melaporkan pada Ahad lalu, kawasan perumahan di Arena Kepayang Putra buat pertama kali dinaiki air banjir setinggi kira-kira 1.5 meter kesan limpahan Sungai Kinta, sekali gus menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). – KOSMO! ONLINE