PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir menurun kepada 40,949 orang daripada 12,685 keluarga setakat pukul 2.49 petang ini, menunjukkan penurunan sebanyak 21.06 peratus berbanding pagi tadi.
Menurut maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 29,132 orang daripada 9,341 keluarga.
Ini diikuti Kedah dengan 5,768 mangsa daripada 1,813 keluarga serta Terengganu dengan 4,716 mangsa daripada 1,150 keluarga.
Johor mencatatkan 986 mangsa daripada 277 keluarga, diikuti Perak (164 mangsa daripada 57 keluarga), Melaka (160 mangsa daripada 41 keluarga), dan Pahang (23 mangsa daripada 6 keluarga).
“Sebanyak 165 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi setakat petang ini,” menurut kenyataan tersebut.
Jumlah penurunan ini memberi sedikit kelegaan kepada pihak berkuasa yang terus memantau situasi banjir di kawasan terjejas. – KOSMO! ONLINE