JERANTUT – Unit Tangkapan Gajah (UTG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang berjaya memindahkan seekor gajah jantan dewasa di kampung Som dekat sini.
Ketua Operasi UTG, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Mohamad Zainuddin Busrah, berkata, operasi pemindahan mamalia besar berkenaan dibuat selepas Perhilitan menerima aduan daripada penduduk Kampung Som dan Kampung Baharu sejak haiwan itu berkeliaran dan memusnahkan tanaman dan menghampiri rumah penduduk sejak 2021.
“Kakitangan UTG Kuala Gandah bersama Perhilitan telah melakukan pemantauan secara berkala mulai tahun lalu sehinggalah berjaya mengesan menangkap gajah jantan ‘Mekna’ yang tidak bergading berusia 40 tahun untuk dipindahkan ke Taman Negara Terengganu hari ini.
“Tangkapan gajah seberat hampir lima tan dengan ketinggian 2,7 meter dan besar tapak kaki 46 sentimeter mengambil masa selama empat jam dengan dibantu seramai 22 orang kaki tangan UTG dan Perhilitan Pahang,” katanya di Kampung Som dekat sini hari ini.
Menurut Mohamad Zainuddin, UTG dan Perhilitan mula melaksanakan operasi tangkapan sejak bulan lalu apabila gajah jantan itu kerap menceroboh tanaman dan menghampiri kediaman penduduk di Kampung Som dan Kampung Baharu daerah ini.
“Operasi tangkapan haiwan liar ini dibantu gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, iaitu Abot dan Rambai sekurang-kurangnya dapat melegakan penduduk di kawasan ini, sekali gus bagi mengelakkan kerugian berterusan berikutan kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik haiwan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Som, Rafiz Azuan Ahmad, 49, berkata, penangkapan gajah jantan liar itu melegakan sedikit penduduk setempat kerana haiwan liar itu yang dikenali dalam kalangan penduduk sebagai ‘Yang Som’ sangat agresif dan membahayakan keselamatan kerana kerap kali menghampiri rumah ketika mencari makanan pada waktu malam. – KOSMO! ONLINE