PETALING JAYA – Demi membentuk sahsiah dan emosi positif, pengacara dan pelakon Uyaina Arshad menggunakan pendekatan ‘Gentle Parenting’ untuk mengendalikan anak-anak yang meragam (tantrum)
Menerusi perkongsian dalam TikTok, Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, menceritakan situasi sukar yang dihadapinya sebagai ibu apabila kedua-dua anaknya memerlukan perhatian pada masa sama.
“Malam yang sukar buat saya sebab Urayyan asyik berjaga malam nak susu. Selepas itu, pada sebelah pagi pula, Urhan tantrum.
“Pagi tadi, Urhan bangun saja dari tidur, dia terus cranky tanpa sebab.
“Kesabaran saya betul-betul diuji. Dah la baru bangun dan saya ada kerja, ‘calltime’ awal pagi pulak,” dedahnya.
Pun begitu, pengacara Wanita Hari Ini itu berusaha untuk tidak meninggikan suara atau memarahi anak-anaknya kerana percaya tindakan tersebut akan meninggalkan kesan trauma pada emosi mereka.
Dalam situasi sukar itu, Uyaina membiarkan anak sulungnya, Urhan menangis dalam pelukan selama hampir 20 minit sebelum bertanya jika dia memerlukan sesuatu.
“Saya cuba yang terbaik untuk jadi gentle Mama. Saya dan Syahiran (suami) bersetuju bahawa ini adalah cara didikan yang terbaik untuk anak-anak kami.
“Lepas saya bagi vitamin gummies, Urhan berhenti menjerit dan segalanya kembali tenang.
“Kadang-kadang mudah sangat untuk kita marah anak bila mereka buat hal, tapi marah atau tengking hanya akan membentuk karakter negatif bila mereka besar nanti,” jelasnya.
Pendekatan ‘Gentle Parenting’ yang diamalkan pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu turut menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain dalam mendidik anak-anak dengan penuh empati dan kesabaran.
Uyaina mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki. – KOSMO! ONLINE