PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di utara dan Pantai Timur bermula Ahad sehingga 11 Disember depan.
Menerusi satu kenyataan, MetMalaysia berkata, antara negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak Kelantan dan Terengganu.
“Ia melibatkan keseluruhan negeri Perlis, manakala di Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
“Di Perak pula, ia membabitkan kawasan Hulu Perak, manakala keadaan sama akan turut melanda seluruh negeri Kelantan dan Terengganu bagi tempoh tersebut,”kata MetMalaysia.
Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan untuk tempoh bermula Isnin sehingga 11 Disember melibatkan Pahang dan Johor.
“Di Pahang ia melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Bagi Johor pula ia melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi,” ujar MetMalaysia.-KOSMO! ONLINE