PETALING JAYA – Pembinaan kapal misi pesisir (LMSB2) batch kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Ia selepas proses ‘steel cutting’ (pemotongan keluli) bagi projek berkenaan telah dilaksanakan di Istanbul Shipyard, Turkiye semalam.
Menurut TLDM, majlis terbabit telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
“Steel cutting merupakan acara pemotongan plat besi kapal sebagai simbolik permulaan aktiviti pembinaan kapal.
“Reka bentuk berasaskan kapal korvet Kelas ADA ini telah dipilih oleh TLDM melalui memorandum persefahaman Government-to-Government (G2G) yang mana STM telah dilantik sebagai kontraktor utama,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Mengulas lanjut, TLDM berkata, kapal korvet kelas ADA telah dioperasikan oleh Angkatan Laut Turkiye dan Tentera Laut Pakistan.
Selain itu, kapal kelas yang sama juga dalam proses pembinaan dan menjalani fasa ujian untuk perolehan Tentera Laut Pakistan dan Tentera Laut Ukraine.
“Kapal LMSB2 ini mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi merangkumi peperangan anti permukaan, peperangan anti udara dan peperangan elektronik serta bakal meningkatkan keupayaan tempur dan keupayaan operasi TLDM.
“Kapal ini turut dilengkapi dengan sistem persenjataan dan penderia berteknologi tinggi bagi di atur gerak melaksanakan misi dalam domain maritim negara.-KOSMO! ONLINE