SERDANG – Seramai empat wanita tempatan ditahan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Semangat PJS 13, Petaling Jaya, semalam, kerana terbabit dalam kes samun warga emas.
Suspek difahamkan menyamun warga emas berusia 69 tahun di kediamannya sekitar Seri Kembangan pada pukul 11 pagi pada 28 November lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 41 tahun.
Katanya, kejadian berlaku ketika warga emas berkenaan berada di hadapan rumahnya dan didatangi kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Tiga wanita tidak dikenali (suspek) keluar daripada kenderaan itu, memberitahu mengenai pinjaman dan bantuan khas untuknya.
“Suspek mengajak warga emas berkenaan ke pejabatnya di South City Plaza, Serdang Perdana dan apabila tiba di sana, salah seorang suspek menarik rantai leher warga emas itu ketika dia keluar kereta, sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Anbalagan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Ujarnya, suspek dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk perintah reman pada pagi ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 03-8074 2222. – KOSMO! ONLINE.