PETALING JAYA – Kemunculan pelbagai jenis haiwan di kawasan perumahan di Taman Sri Gombak mencuri perhatian pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di Facebook, satu klip video memaparkan beberapa reptilia dan mamalia berkeliaran di kawasan berkenaan.
Antara haiwan itu adalah kera, biawak, tupai dan babi yang sedang mencari makanan dengan menerjah tong sampah di kawasan perumahan tersebut.
Menurut pengguna media sosial, Que Kasih, ia merupakan pemandangan yang biasa bagi penduduk Taman Sri Gombak.
Bagaimanapun, rata-rata orang ramai berseloroh Taman Sri Gombak boleh dijadikan safari atau mini zoo.
“Boleh buka mini zoo. Ada babi, ada kera, ada biawak, ada ular. Boleh tukar nama kepada Taman Safari Sri Gombak,” kata Hafifi.
“Di mana-mana sekarang, monyet semakin banyak membiak. Tapi nak salahkan binatang habitatnya pun sekarang sudah terancam,” ujar Nizam. – KOSMO! ONLINE