SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah di Kampung Lebah Raja, Kepala Batas di sini bertindak di luar batasan apabila mengugut mahu membunuh dua adik perempuannya semalam selepas mendakwa mereka kelihatan seperti jin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu berlaku apabila suspek berusia 37 tahun secara tiba-tiba mengamuk sambil memegang besi panjang dan kayu di hadapan rumah mereka.
“Suspek menjerit dengan berkata ‘hangpa (kamu berdua) setan (syaitan) dan memberitahu nampak kedua-dua adik perampuannya itu seperti jin sebelum mereka lari masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
“Dua beradik itu turut mendengar suspek menjerit suruh keluar sambil mengugut mahu membunuh mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, mangsa kemudiannya berlari keluar melalui pintu belakang sebelum menghubungi polis apabila mangsa turut menendang pintu rumah.
“Polis yang tiba 20 minit kemudian berjaya menahan suspek dan merampas sebatang besi sepanjang 122 sentimeter.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang memiliki tiga rekod berkaitan dadah itu mendapati dia positif syabu dan morfin,” katanya lagi.
Menurut Noorzainy, suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE