LONDON – Pengadil legenda Liga Perdana Inggeris (EPL), Jeff Winter mempersoalkan kredibiliti Pentadbir Pengadil Profesional Liga Perdana Inggeris (PGMOL) berhubung keberkesanan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Beliau memberi amaran kepada ketua PGMOL, Howard Webb bahawa penggunaan VAR menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit selain menjadi salah satu punca mutu pengadilan Liga Perdana semakin teruk.
Winter berkata sedemikian selepas merujuk kepada beberapa keputusan tidak konsisten yang dibuat barisan pengadil dalam perlawanan-perlawanan Liga Perdana sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Secara jujur, saya bukanlah peminat kepada penggunaan VAR. Anda semua boleh lihat sentiasa ada keputusan tidak konsisten pada setiap minggu kerana ia melibatkan lebih daripada satu pengadil.
“Bagaimana, seseorang pengadil tidak melayangkan kad merah kepada pemain yang melakukan terjahan keras meskipun sudah merujuk VAR. Saya fikir kredbiliti PGMOL serta pengadil boleh dipersoalkan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya pengadilan Liga Perdana dikembalikan seperti biasa kerana menganggap kehadiran VAR tidak memberi nilai tambah, sebaliknya menjadikan setiap keputusan menjadi kontroversi.
“Jika ditanya, saya lebih suka jika pengadilan kembali ke cara lama. Sekarang kita gunakan VAR hanya untuk membuktikan kewujudannya, bukan bagi membuat keputusan yang betul dalam setiap perlawanan,” ujar Winter. – AGENSI