ISKANDAR PUTERI – Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengutip tiga mata ketika melayan kunjungan Buriram United tidak kesampaian setelah terikat tanpa jaringan dalam pertemuan peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), malam ini.
Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini namun dicemari dengan insiden kekerasan setelah tiga kad merah dilayangkan pengadil perlawanan dalam aksi 90 minit itu.
Pengadil perlawanan, Khalid Saleh Alturais melayangkan kad merah kepada Murilo setelah mendapati kekasaran berlaku di luar kotak penalti di awal permainan sebelum Theerathon Bunmathan pula dilayangkan kad merah setelah melakukan kekasaran terhadap Arif Aiman Hanapi di minit ke-44.
Pada masa tambahan pula, JDT terpaksa bermain dengan sembilan pemain setelah Junheong yang melakukan terjahan keras terhadap Bissoli dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. -KOSMO! ONLINE