KLUANG – Seorang wanita diberkas selepas disyaki mendera anak kandungnya termasuk menyimbah air panas sehingga menyebabkan kanak-kanak perempuan itu melecur pada belakang badan.
Perbuatan kejam wanita berusia 32 tahun itu terbongkar selepas guru besar sekolah anaknya membuat laporan polis kira-kira pukul 10.30 pagi, 28 November lalu setelah mangsa mengadu mengenai kejadian tersebut kepadanya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penjawat awam itu yang membuat pemeriksaan pada badan mangsa mendapati ada kesan lebam di kaki kanan, kesan lecur di kaki kiri dan lebam akibat ditumbuk di pipi kiri.
“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kluang membuat tangkapan ke atas wanita itu kira-kira pukul 12.15 tengahari, 2 Disember (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrin, hasil pemeriksaan di hospital mendapati kecederaan mangsa akibat penderaan dan suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 8 Disember ini untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE