KEMAMAN – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Neram, Muhammad Yusuf Adnan, 16, dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras di Sungai Neram di sini hari ini.
Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Zailani Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 4 petang itu, mangsa dipercayai mandi bersama 10 rakannya di sungai tersebut.
“Mangsa dikatakan mandi bersama rakan-rakannya sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras. Beberapa rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd Zailani berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan termasuk oleh Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Chukai. – KOSMO! ONLINE