PETALING JAYA – Tindakan segelintir individu yang menunaikan solat dalam air banjir mencetuskan perdebatan hangat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hukumnya.
Penceramah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa solat dalam air hanya dibenarkan dalam keadaan darurat sekiranya tiada tempat kering untuk menunaikan Rukun Islam kedua itu.
“Jika tiada daratan, boleh solat dalam air. Yang tidak boleh adalah apabila ada daratan tetapi sengaja masuk dalam air untuk solat,” katanya.
Ustaz Azhar menegaskan pakaian basah yang menampakkan aurat boleh menyebabkan solat seseorang itu tidak sah melainkan dalam keadaan darurat.
Video-video tular yang menunjukkan beberapa individu solat dalam air mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Ada yang mempertikaikan niat di sebalik tindakan tersebut sama ada ia dilakukan untuk mendapatkan perhatian ramai atau keperluan mendesak.
“Solat adalah ibadah yang suci. Jangan jadikan ia bahan untuk ‘content’ (kandungan) media sosial. Kita perlu memelihara adab dan hukum-hakamnya,” kata seorang pengguna. -KOSMO! ONLINE