PUTRAJAYA- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencipta rekod apabila melepasi sasaran kutipan ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum akhir tahun ini dengan meraih perolehan hasil semasa berjumlah RM61.35 bilion.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin malah berkata, jumlah itu mencatatkan lebihan RM5.35 bilion atau 109.55 peratus berbanding unjuran asal dihasratkan kerajaan.
“MOF pada peringkat awal menetapkan sasaran kutipan RM56 bilion untuk dicapai JKDM menjelang 31 Disember depan. Angka itu kemudian diubah kepada RM61.17 bilion, namun JKDM telah memperoleh RM61.35 bilion,” katanya pada sidang akhbar khas di ibu pejabat JKDM di sini tadi.
Anis Rizana berkata, kutipan keseluruhan bagi rekod tahun lalu setakat 30 November 2023 sebanyak RM51.95 bilion, namun kutipan semasa JKDM bagi tempoh sama tahun ini RM60.96 bilion yang bersamaan pertumbuhan positif 17.34 peratus. – KOSMO! ONLINE