PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 98 fasiliti kesihatan awam termasuk klinik kesihatan dan hospital terjejas akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 50 daripada fasiliti itu tidak dapat beroperasi disebabkan laluan terhalang dan dinaiki air, manakala sebanyak 48 buah fasiliti lain masih boleh beroperasi seperti biasa walaupun dinaiki air.
“Kelantan, sebanyak 30 fasiliti kesihatan awam tetap beroperasi walaupun dinaiki air, manakala 34 yang lain tidak boleh beroperasi. Terengganu, 17 fasiliti kesihatan awam beroperasi walaupun dinaiki air, manakala 13 yang lain tidak boleh beroperasi. Kedah, sebanyak tiga buah fasiliti kesihatan juga tidak boleh beroperasi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly menjelaskan, berdasarkan Akta 342, ‘pegawai diberi kuasa’ (PDK) tidak mempunyai kuasa untuk menahan orang yang dijangkiti, sebaliknya hanya berkuasa menyiasat dan mendapatkan maklumat.
Jelas beliau, PDK juga boleh mengeluarkan arahan kepada orang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti menjalani pengasingan dan pengawasan tempat yang difikirkan patut berdasarkan garis panduan ditetapkan dan tidak terhad di stesen kuarantin atau hospital.
“Bagaimanapun, pegawai diberi kuasa masih boleh memohon bantuan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) jika mereka dikasari. – KOSMO! ONLINE