KUALA NERUS – Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri menceriakan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak di sini hari ini.
Aliff yang ditemani isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid dan pempengaruh, Azwan Omar atau popular dengan nama Abang Viva tiba di PPS tersebut pada pukul 12 tengah hari.
Mereka turut membawa bekalan makanan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.
Aliff Syukri memberitahu, beliau tersentuh hati menyaksikan keadaan mangsa banjir di Terengganu dan terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan golongan tersebut.
“Alhamdulillah, saya datang ke sini dengan isteri dan Abang Viva (Azwan) untuk berkongsi rezeki dengan membawa sedikit sumbangan yang diharap dapat menceriakan mangsa banjir yang terjejas teruk ketika ini.
“Saya membelanjakan hampir RM50,000 di tiga lokasi termasuk membawa susu (formula) bayi, pakaian dalam dan wang tunai untuk mangsa banjir,” katanya ketika ditemui.
Aliff memaklumkan, beliau memilih untuk menyantuni mangsa banjir Terengganu kerana tidak ramai pempengaruh melawat negeri ini berbanding Kelantan. – KOSMO! ONLINE