fbpx

Isteri percaya saya seorang lelaki ‘familyman’ – Shukri Yahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUKRI YAHAYA

KERAP menggalas watak lelaki curang dalam drama, pelakon Shukri Yahaya tidak melihat penampilannya sebagai klise atau stereotaip seperti tanggapan segelintir pihak.

Bagi aktor yang laris menghiasi layar kaca itu, setiap karakter serta naskhah mempunyai perwatakan mahupun plot berbeza.

Secara tidak langsung, pembawakan dalam sesebuah produksi turut diterjemahkan mengikut kesesuaian perwatakan serta kehendak audiens.

“Memang saya akui kebelakangan ini memang boleh dikatakan ‘back to back’ saya bawakan peranan sebagai suami curang atau mudah beralih arah.

“Saya tak nampak sebab saya kena tolak karakter seumpama itu walau ada suara-suara kata saya sinonim dengan watak serupa.

“Hakikatnya itu bermakna penerbit sudah bagi kepercayaan dan sebagai pelakon sudah tentu saya galas amanah dengan sebaik mungkin,” ujarnya kepada Hibglam.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Yahaya, 36, seperti penggiat seni lain, dia juga mencabar diri menjayakan karakter lain termasuk melakukan aksi lasak.

Mengakui teruja berpeluang meneroka pelbagai karakter termasuk di layar perak, tunjang utama drama terbitan Astro, Curang Tanpa Niat itu mahu dikenali sebagai bintang versatil.

Bukan badi

“Sama ada menjadi pasangan  romantis, individu curang atau lelaki yang gagah bertarung, setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Saya sentiasa menggalas amanah sebaik mungkin iaitu bersedia sebelum masuk set serta berikan 100 peratus komitmen,” katanya dengan bersemangat.

Berkongsi lagi mengenai kerjaya, aktor yang terjun ke arena hiburan sekitar tahun 2011 itu juga tidak melihat kekerapan memenuhi watak lelaki curang seperti dalam drama umpama meninggalkan badi.

KATA Shukri, isterinya Tya Adnan tidak pernah meletakkan syarat mahupun perlu mendapatkan kebenarannya sebelum menerima sebarang tawaran.

Tambah suami kepada Tya Adnan itu, kepercayaan menjadi tunjang kepada kerukunan rumah tangga yang dibina sejak sembilan tahun lalu.

Bahkan, isterinya yang berniqab sebaik saja pulang dari mengerjakan umrah pada Februari lalu tidak pernah menetapkan syarat atau menapis tawaran yang datang.

Tiada syarat

“Saya bertuah mempunyai teman hidup yang sangat memahami, bahkan dia juga tidak pernah masuk campur dalam hal tawaran kerja.

“Rumah tangga kami dibina berlandaskan kepercayaan, jadi dia faham cara kerja saya selain tahu saya seorang familyman. Habis ‘shooting’ terus balik rumah.

“Apabila isteri beri sepenuh kepercayaan, kita pun jangan sia-siakan selain kena jujur. Itulah kunci kebahagiaan,” tambahnya.

Menurut Shukri, keikhlasan dalam perhubungan dan ikatan cinta disifatkan melancarkan urusan karier apabila terus dilimpahkan rezeki.

Mengakui doa isteri juga antara sumber kekuatan, dia turut berasa bertuah apabila masih menjadi pilihan pengarah dan produser ketika ramai bakat baharu menghiasi arena seni.

Bagai magnet

Dikatakan masih mempunyai ‘wow factor’ untuk menarik penonton melekat di kaca televisyen bagai magnet, pujian tersebut menyuntik semangat untuk terus memberikan hasil terbaik.

“Alhamdulillah, saya masih diberi mandat sebagai teraju utama selepas lebih 13 tahun bergelar pelakon. Kiranya saya masih lagi relevan dalam industri seni.

“Sejujurnya jangan takut kepada kritikan, contoh macam saya dikatakan stereotaip bawakan watak hampir sama, tetapi jika hasil lakonan kita diingati, saya tetap berpuas hati.

Barisan pelakon yang menjayakan drama rantaian, Curang Tanpa Niat.

“Paling utama tunaikan tanggungjawab dengan sepenuhnya, jangan harapkan pujian tetapi tunjukkan kemampuan. Orang akan cari kita lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai lakonannya dalam Curang Tanpa Niat yang disiarkan bermula 23 Disember ini, akui Shukri gandingan bersama Mira Filzah memberi peringatan terhadap diri sendiri.

“Sebenarnya sebaik saja baca skrip, saya lebih dulu jadi netizen kerana geram dengan watak utama yang sanggup menganiayai isterinya.

“Belum apa-apa saya sudah naik geram, apatah lagi penonton, tambahan pula teman gandingan lain terutama Mira Filzah ‘memberi’.

“Kalau saya yang berlakon pun tak sabar sebaik saja baca skrip, inikan pula penonton. Saya yakin Curang Tanpa Niat boleh ‘bakar’ emosi kaki drama,” ujarnya.

Drama rantaian arahan Eyra Rahman yang bakal menghiasi slot Megadrama itu turut membariskan Sharifah Sakinah serta ramai lagi pelakon hebat.

SHUKRI suka menghabiskan masa bersama keluarga dengan segera pulang ke rumah setiap kali selesai penggambaran.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI