IPOH – Kakak Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia melihat darah mengalir keluar dari hidung adiknya yang ketika itu sedang meronta-ronta kesakitan.
Menurut Nur Zawanie, 29, yang juga seorang jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), darah yang keluar itu mungkin disebabkan oleh kecederaan dalaman.
“Darah keluar melalui (hidung), saya rasa mungkin ada berlaku kecederaan di bahagian dalaman badan mangsa. Sebabnya, jika ada kecederaan dalaman, darah akan keluar melalui hidung dan telinga,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurut Nur Zawanie yang merupakan saksi pendakwaan ke-20, dia juga ada membuat panggilan kecemasan melalui talian 999 sebanyak dua kali ketika menenangkan adiknya yang sedang meronta kesakitan.
Katanya, panggilan kecemasan pertama dibuat pada pukul 12.17 tengah hari dengan panggilan kedua pula pada 12.03 tengah hari.
“Saya telah bertindak memanggil pihak ambulans kali kedua melalui panggilan telefon 999 kerana merasakan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai,” katanya.
Tambah Nur Zawanie, dia melakukan bantuan pernafasan (CPR) ke atas adiknya itu kerana mendapati tiada denyutan nadi selepas memeriksa di bahagian leher, pergelangan tangan dan celah kangkang mangsa.
Malah katanya, ketika dia membuka mata Muhammad Zaharif, anak mata itu juga telah mengembang (dilated). – KOSMO! ONLINE