PETALING JAYA – “Saya tak pernah jumpa doktor pekak,” itulah kata-kata hinaan yang menjadi penguat semangat kepada seorang pegawai perubatan dikenali sebagai Dr. Abdul Rahim.
Dr. Abdul Rahim berkongsi pengalamannya menerusi ciapan di aplikasi X apabila pernah diperlekehkan beberapa individu ketika ingin memohon bantuan alat pendengaran di sebuah jabatan.
Katanya, ketika itu permohonan alat bantuan tersebut bertujuan untuk digunakan sepanjang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan memandangkan dia berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Bagaimanapun, ada pihak yang seolah-olah tidak mempercayainya dengan mengatakan tiada dalam bidang kesihatan mempunyai doktor pekak.
“Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya meminta untuk alat bantu pendengaran untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan tetapi ditolak.
“Adakah anda tahu apa yang pegawai jabatan itu katakan, ‘saya tak pernah jumpa doktor pekak’, saya harap pegawai itu masih hidup supaya saya boleh memberinya ….,” katanya.
Dr. Abdul Rahim mengimbau semula kisah tersebut sempena memperingati Hari OKU Sedunia yang disambut hari ini. – KOSMO! ONLINE