KUALA NERUS – Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 28 November lalu telah mengorbankan empat nyawa setakat ini.
Dua daripada mangsa maut akibat terjatuh dan dihanyutkan arus deras banjir, manakala dua lagi menjadi korban runtuhan tanah akibat pergerakan air hujan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, mangsa terbaharu merupakan seorang anggota polis yang ditemui lemas di dalam ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, Dungun pada semalam.
“Mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Polapol) Dungun telah dihanyutkan arus deras sewaktu melalui laluan ditengelami banjir di ladang kelapa sawit tersebut dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu.
“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya yang memasuki ladang kepala sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya tertinggal di dalam raga motosikal telah terkandas semalaman akibat banjir,” katanya di Pondok Polis Tepoh di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui sewaktu menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu.
Mohd. Khairi berkata, mangsa banjir di Terengganu ialah Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, yang lemas di Kampung Pinang, Besut pada 28 November lalu.
Beliau berkata, dua lagi mangsa lagi merupakan adik-beradik, Puteri Sajidah Azman, 16, dan Fatihah, 13, yang terkorban dalam runtuhan tanah di Kampung Bukit Apil, Hulu Terengganu pada 29 November lalu. – KOSMO! ONLINE