KUALA LUMPUR – Kerajaan mengguna pakai mekanisme bantuan tunai secara langsung kepada golongan sasar yang berkelayakan dan memerlukan sebagai salah satu langkah untuk membendung isu ketirisan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, langkah tersebut dilakukan dalam memastikan subsidi ini sampai kepada golongan sasar.
Selain itu beliau berkata, kementerian memanfaatkan penggunaan teknologi untuk memastikan sistem penyampaian yang efisien dan segera seperti penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikreditkan terus ke akaun penerima dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menggunakan MyKad.
“Kerajaan turut melaksanaan dasar dan program penyasaran subsidi untuk memastikan program subsidi benar-benar sampai dan dimanfaatkan oleh golongan sasar.
“Selain itu, kementerian juga memperkasa aspek penguatkuasaan untuk membendung isu ketirisan, penyelewangan dan penyeludupan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu keberkesanan program subsidi Kerajaan yang dilaksanakan untuk mengurangkan kos sara hidup dan apakah mekanisme yang digunakan untuk memastikan subsidi ini sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukannya.
Mengulas mengenai keberkesanan program subsidi, Armizan berkata, laporan Khazanah Research Institute menunjukkan peningkatan dalam jumlah perbelanjaan keseluruhan dan jumlah perbelanjaan makanan berikutan bantuan tunai.
“Dapatan laporan itu juga menunjukkan bantuan tunai mampu memberikan jaminan sumber pendapatan yang konsisten.
“Selain itu, laporan Kajian Impak Program Payung RAHMAH di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang telah dilaksanakan oleh ILHAM Centre mendapati 81 peratus responden berpuas hati dengan pelaksanaan program.
“Sebanyak 83 peratus pula berpandangan inisiatif melaksanakan program ini merupakan langkah tepat untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE