SHAH ALAM – Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang tular di media sosial selepas mendakwa dihalau dari rumah dikatakan bertindak demikian bagi menarik perhatian ibu bapanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, perkara itu terjawab selepas pihaknya merakam percakapan ibu bapa kanak-kanak tersebut kelmarin.
“Hasil soal siasat, mereka (ibu bapa) membuat kesimpulan kanak-kanak itu perlukan perhatian dan kasih sayang keluarga.
“Anak sulung daripada tiga beradik itu mengadu dia seolah-olah dipinggirkan dan cemburu dengan kasih sayang yang diterima dua adiknya yang lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Artikel berkaitan : Kanak-kanak dakwa didera, dihalau ibu bapa
Ketegasan bapa kanak-kanak itu dalam mendidik menyebabkan mangsa tidak dapat menerima arahan tersebut.
Ramsay memberitahu, bapa kanak-kanak itu memaklumkan dia telah memberikan alat peranti berupa tablet bagi mengembirakan anak sulungnya.
“Justeru itu, tidak wujud unsur dera di dalam kes ini, sebaliknya lebih kepada perasaan kecil hati terhadap kedua-dua ibu bapanya,” katanya.
Pada isnin lalu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun nekad untuk menunggang basikal sejauh 25 kilometer ke rumah neneknya di Batu Belah, Klang selepas didakwa sering dimarahi ibu bapanya.
Mengulas lanjut, Ramsay berkata, siasatan masih dijalankan termasuk merekod keterangan jiran keluarga itu bagi melengkap siasatan. -K! ONLINE