SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh baharu untuk keputusan representasi seorang gadis berkaitan pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Ogos lalu.
Ia berikutan pihak pendakwaan di dua kamar mahkamah berasingan iaitu Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin dan Norazihah Asmuni memaklumkan masih belum menerima representasi daripada pihak pembelaan.
Sebutan semula kes didengar di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan Datin Surita Budin.
Peguam, Boestamam Ahmad yang menyebut bagi pihak peguam, Doreena Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan Doreena tidak sihat beberapa bulan.
Oleh itu, Boestamam memohon dipertimbangkan untuk pihak pembelaan tempoh lanjutan untyk menyediakan satu lagi representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC bagi kesemua empat pertuduhan ke atas tertuduh.
Menurut Boestamam, Doreena merupakan peguam mewakili tertuduh Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, dan masih mengendalikan kes tersebut.
Puteri Nurin Amalin kini masih direman di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas gagal membayar jaminan keseluruhan sebanyak RM80,000. – KOSMO! ONLINE