PETALING JAYA – Ada orang yang ‘geli’ nak makan nasi kandar yang disajikan dengan kuah terlalu banyak sehingga nasi langsung tidak kelihatan, menjadikan hidangan itu kurang menyelerakan.
Menerusi sebuah hantaran di Facebook, seorang pekerja di sebuah kedai nasi kandar dilihat sedang memegang sepinggan nasi putih sambil menceduk pelbagai kuah kari ke atasnya.
Lebih mengejutkan, sepinggan nasi itu dibanjiri dengan 15 senduk kuah daripada tujuh jenis kari, menyebabkan nasi hampir tenggelam sepenuhnya, menjadikan hidangan tersebut kelihatan lebih seperti banjir lumpur.
Hantaran ini telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata meluahkan rasa kurang selesa dan geli untuk menikmati hidangan tersebut.
Banyak komen yang menyatakan bahawa nasi kandar sepatutnya dinikmati dengan jumlah kuah yang seimbang, bukan berlebihan sehingga menutupi nasi sepenuhnya.
“Tahulah sekarang ni musim banjir tapi janganlah sampai makan pun nasi banjir lumpur. Macam mana lah rasa tu ye,” ujar Bu Sriwati Hashim.
“Aku pun suka nasi kandar tapi tak ada macam tu punya banjir, dah macam berak cirit,” luah Arfisyam Abd Hadi.
“Aku orang Penang pun tak makan macam ni. Mengarut je,” komen Wan Muqarrabin Wan Ain. – KOSMO! ONLINE