PETALING JAYA – Tidak tahan berada dalam rumah tangga yang toksik, pelakon dan bekas model terkenal, Zahnita Wilson nekad memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang hari ini.
Zahnita, 38, berkata, keputusan untuk bercerai itu dilakukan kerana tidak mampu lagi bertahan apatah lagi selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak beberapa bulan lalu.
“Kekuatan saya untuk fail cerai hari ini ialah Allah SWT dan sokongan daripada ibu saya. Doa dia mengiringi perjalanan saya hari ini.
“Emosi saya juga ketika ini tidak begitu stabil dengan semua ujian ini. Alhamdulillah Allah beri kekuatan itu,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Dalam masa sama, dia juga bersyukur apabila dimaklumkan pihak berkuasa suaminya sudah ditahan semalam.
“Lega dan syukur dia sudah ditahan sebab boleh bergerak tanpa risau apa-apa. Dia sudah tak boleh lakukan sebarang perkara lagi pada saya.
“Sebelum ini saya takut nak ke mana-mana sebab risau diapa-apakan olehnya.
“Terima kasih dan sangat terharu apabila melihat sokongan daripada semua orang termasuk pihak polis yang sudah melakukan siasatan serta mengambil tindakan.
“Saya sudah lama bertahan, berhenti daripada karier seni dan menjadi isteri yang sempurna sebelum ini,” jelasnya.
Dia juga memberitahu kejadian dirinya dipukul oleh suami baru-baru ini bukan kerana disebabkan mahu keluar daripada kediamannya.
“Saya tidak boleh memperincikan kejadian tersebut buat masa sekarang sebab masih dalam siasatan polis.
“Cuma yang saya boleh katakan ialah dia melakukan keganasan tersebut kerana tidak tahan dengan soalan saya tentang sesuata perkara,” ujarnya.
Semalam, Zahnita mengejutkan ramai apabila memuat naik foto bahagian matanya lebam dan mendakwa dipukul oleh suaminya selepas bertanya tentang kehadiran orang ketiga.
Menurut Zahnita dia sudah tidak lagi mampu bertahan selepas 20 tahun hidup bersama.
Kosmo! Online hari ini juga melaporkan pihak polis mengesahkan suaminya ditahan reman selama tiga hari sejak semalam di Kuantan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE