fbpx

Dewan Rakyat: 2,206 kes salah guna barang kawalan diesel dilaporkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,206 kes berkaitan penyalahgunaan barang kawalan diesel dilaporkan sejak Januari 2022 hingga Oktober 2024 dengan jumlah nilai rampasan diesel ialah RM47 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,617 kes dilaporkan di Semenanjung Malaysia, 421 kes di Sarawak, 141 kes di Sabah dan 11 kes di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, bilangan tangkapan yang dilakukan dalam tempoh tersebut ialah 1,177 orang melibatkan warganegara dan bukan warganegara.

“Antara faktor yang mendorong aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi dalam sektor industri dan penyeludupan ke luar negara serta penetapan harga bagi diesel bersubsidi yang diberikan secara pukal oleh kerajaan mendorong ke arah kegiatan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah tangkapan dan rampasan bagi kes penyelewengan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak sejak 2022 hingga kini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Rosol mengenai aktiviti penyelewangan diesel yang masih berlaku walaupun selepas penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun lalu, Armizan berkata berlaku penurunan kes iaitu sebanyak 321 kes berbanding dengan 774 kes pada 2023.

“Bermula 2023 apabila jurang harga tanpa subsidi itu begitu besar menyebabkan banyak penyelewengan dan apabila dilaksanakan penyasaran dari segi kes itu agak berkurangan.

“Dari segi penggunaan, sejak dilaksanakan penyasaran subsidi diesel, penggunaan ataupun nilai rampasan kes-kes ini menurun sebanyak 71 peratus bagi diesel dan ada kenaikan daripada aspek kes bagi RON95 iaitu sebanyak tujuh peratus,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, dari segi kos sara hidup, harga barang yang secara langsung dikaitkan dengan diesel itu tidak ketara tetapi lebih kepada pergerakan harga disebabkan oleh permintaan dan pembekalan.

“Namun pada masa sama kita sentiasa memantau dan kita mengalu-alukan maklum balas daripada mana-mana pihak sekiranya berlaku pergerakan harga yang dilihat disebabkan oleh penyasaran subsidi diesel ini kita akan melakukan penguatkuasaan,” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI