fbpx

Da Silva tidak sabar gegarkan Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DA SILVA giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan sejak berhijrah ke TFC dari Persebaya Surabaya menjelang saingan Liga M yang dijangka bermula 26 Februari depan. – FACEBOOK TFC

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PENYERANG import, David Da Silva tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama Terengganu FC (TFC) dalam sai­ngan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC pada musim ini.

Menguatkan lagi semangat bekas tonggak Persebaya Surabaya itu ialah misinya untuk memburu Kasut Emas selepas hadir dengan reputasi rekod jaringan memukau pada saingan Liga Indonesia sebelum ini.

Da Silva yang lega dapat kembali beraksi sejak Liga Indonesia ditunda Mac tahun lalu berkata, dia meletakkan sasaran tinggi untuk berjaya bersama TFC.

“Saya rasa sudah bersedia dengan cabaran musim ini dan harap dapat membawa TFC menjulang kejuaraan pada Liga M.

“Jika dapat membantu pasukan dengan jaringan gol, tidak mustahil saya dapat merebut Kasut Emas kerana tugas pe­nyerang adalah menjaringkan gol,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Penyerang prolifik itu mencipta nama di Indonesia apabila menjaringkan 35 gol dalam 42 penampilan sejak tahun 2018 dan bergelar naib juara liga bersama Surabaya pada musim 2019.

Begitupun, Da Silva menegaskan, keutamaannya bersama TFC sudah tentu memastikan kejayaan pasukan secara keseluruhan.

Da Silva turut mengakui amat teruja menyarung jersi TFC, sekali gus dapat merasai peluang beraksi pada Liga Super dan Piala AFC.

Ini kerana katanya, ketidaktentuan status liga di negara jiran telah mendorong penghijrahannya ke Malaysia untuk bersama skuad Penyu.

“Berasa lega dapat kembali ke padang. Hampir semua negara kembali membenarkan liga domestik tetapi tidak Indonesia.

“Ini kali pertama bermain di Malaysia dan Piala AFC. Kami berharap dapat memberi cabaran dalam kedua-dua kejohanan itu,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI