BRISBANE, AUSTRALIA – Polis Australia merampas 2,300 kilogram (kg) kokain dari sebuah bot yang rosak di luar pantai negeri Queensland, lapor Perbadanan Penyiaran britain (BBC) semalam.
Seramai 11 lelaki dan dua remaja ditahan, termasuk kru bot dan beberapa orang yang menunggu di pantai untuk mengambil penghantaran itu.
Dadah tersebut mempunyai anggaran nilai jalanan AUD$760 juta (RM2.2 bilion), dengan potensi untuk diedarkan merentasi 11.7 juta pembeli jalanan.
Ia menjadikannya rampasan kokain terbesar dalam sejarah Australia.
Polis Persekutuan Australia (AFP) bekerjasama dengan Perkhidmatan Polis Queensland (QPS) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) untuk menjejaki bot memancing yang dibeli oleh seorang lelaki berusia 35 tahun baru-baru ini.
Malam Sabtu lalu, bot tersebut digunakan untuk mengangkut penghantaran kokain dari sebuah kapal ke pantai Queensland apabila ia mengalami kerosakan mekanikal, kata polis.
Terkandas kira-kira 18 kilometer dari hujung timur laut K’gari, bot itu dipintas oleh AFP dan QPS, yang kemudian menemui 51 bungkusan diikat dengan jaring tali.
Setiap bungkusan mengandungi 40 kilogram kokain, menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah 2,340 kilogram.
Kesemua 11 lelaki dan dua remaja itu didakwa bersubahat mengimport narkotik berat yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup. – AGENSI