SETIU – Seorang anggota polis bantuan maut selepas kereta Honda Civic dinaikinya merempuh sebuah kenderaan pikap, Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 57, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Rhu Sepuluh di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 6.42 pagi itu, mangsa, Che Mohd. Nasir Jaafar, 56, berasal dari Kampung Kelar Johur, Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan bermula selepas kenderaan pikap dipandu seorang anggota bomba terlibat dalam kemalangan merempuh sekumpulan sembilan ekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan di lokasi kejadian.
“Rempuhan itu menyebabkan kenderaan Toyota Hilux berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu kenderaan tersebut yang berusia 45 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan dan telah keluar untuk melakukan kawalan keselamatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Difahamkan rempuhan berkenaan turut menyebabkan lapan ekor lembu dilanggar telah mati bergelimpangan di lokasi kejadian.
Mohd. Zain berkata, tidak lama kemudian, kereta Honda Civic dipandu Che Mohd. Nasir yang dipercayai tidak perasan kemalangan tersebut telah merempuh hadapan kenderaan Toyota Hilux terbabit.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit di dalam kenderaannya yang remuk teruk tersebut telah dikeluarkan oleh anggota polis sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE