BATU PAHAT – Seramai 19 kru kapal kargo Malaysia Star berdepan detik cemas apabila kapal yang dinaiki mereka mengalami kebakaran ketika berada di kedudukan 9.1 batu nautika berhampiran Tanjong Labuh di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi itu dimaklumkan kepada pihaknya sebelum dua buah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kapal yang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dengan membawa 19 orang kru terdiri daripada seorang warga tempatan dan 18 warga Filipina.
“Semua kru kapal berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke bot peronda APMM untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.
“Kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan memandangkan tangki minyak berada di bawah tempat kebakaran,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Mohammad Zaini lagi, sehingga kini tiada tumpahan minyak dilaporkan namun pihaknya akan membuat pemantauan berterusan.
Ujarnya, pihaknya menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi menggelakkan kehilangan nyawa serta harta benda. – KOSMO! ONLINE